Monday, 14 March 2011

Situasi 2 : 20 Januari 2011 (Khamis)

Penggunaan 'ek'




Hari ini, saya perlu menghadiri kelas Kemahiran Belajar di kampus terlebih dahulu pada pukul 8.00 pagi sebelum menghadiri kuliah seterusnya di Proton City pada pukul 11.00 pagi. Seperti biasa, setelah selesai kuliah pada pukul 10.00 pagi, kami terpaksa menunggu bas untuk ke Proton City. Nasib baiklah tidak ramai orang pada waktu-waktu seperti itu. Setelah bas tiba, kami terus menaiki bas tersebut. Semasa sedang menunggu bas bergerak, saya terdengar satu perbualan antara dua orang mahasiswi. Antara perbualan yang sempat saya dengar adalah seperti berikut :

Pelajar 1 : Ko dah makan ek?
Pelajar 2 : Belum. Ko?
Pelajar 1 : Aku pun belum makan lagi ni. Jap lagi kita makan kat kafe ek?
Pelajar : Bagus gak tu. Aku pun dah lapar ni.

Ulasan : Penggunaan perkataan ek ini sering kita dengar dalam perbualan harian. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan penutur yang menggunakan perkataan ini berasal daripada negeri Johor.

Situasi 1 : 19 Januari 2011 (Rabu)

LEWAT



Kira-kira jam 10.30 pagi. Saya baru selesai menghadiri kuliah di Proton City. Jadi, saya dan dua orang sahabat saya iaitu Fairus, yang sangat menyukai kucing (boleh dikira pencinta kucing) dan Miera, yang suka mengenakan saya (dalam diam mengambil gambar saya) bercadang untuk pergi ke perpustakaan. Kami dengan sabar menunggu bas dari kampus walaupun kadang-kadang kedengaran suara bebelan halus tentang kelewatan bas tersebut. Antaranya, “Mane pak cik ni..dah penat dah tunggu ni..ni mesti dok lepak jer kat kampus tu..bukan nak datang ambik orang kat PC ni..dah tau ramai orang”. Kata-kata seperti ini sering kedengaran setiap kali terpaksa menunggu kedatangan bas yang agak lewat.

Komen: Penggunaan perkataan dok merupakan singkatan daripada perkataan duduk yang sering digunakan dalam kehidupan seharian.

Salam sejahtera kepada pembaca yang budiman


Hari ini bermulalah coretan peristiwa yang berlaku dalam hidup saya di dalam blog ini. Blog ini sebenarnya bertujuan untuk memenuhi syarat tugasan individu bagi kursus Sosiolinguistik Melayu yang saya ambil pada semester ini iaitu mesti dihasilkan dalam bentuk blog. Mulanya saya sangat tidak bersetuju untuk menulis di dalam blog kerana terdapat pelbagai masalah. Antara masalah yang paling utama ialah gangguan internet. Namun, saya cuba untuk memenuhi syarat ini, maka terhasillah coretan saya ini. Dr. Saniah iaitu pensyarah kami mahu kami semua menulis peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kami setiap minggu berkaitan dengan masyarakat dan bahasa.