Saturday 16 April 2011

Situasi 40 : 19 Mac 2011 (Sabtu)

Dam Haji

Hari ini merupakan hari keempat saya di Terengganu. Selepas beberapa hari di Terengganu, banyak yang telah saya pelajari terutamanya perkataan-perkataan yang tidak pernah saya dengar sebelum ini. Kebanyakan penduduk di Terengganu bekerja sebagai petani, penoreh dan nelayan. Pada sebelah petangnya, kebanyakan mereka menghabiskan masa dengan berbual-bual kosong di kedai kopi yang berhampiran. Suatu hari, semasa sedang menemani Yus ke kedai runcit, saya terdengar perbualan di antara dua orang pak cik.


Pak Cik 1 : Mat, demo nok gi maner?
Pak Cik 2 : Kawe nok gi naik haji.
Pak Cik 1 : Hari-hari gi haji Mat?
Pak Cik 2 : Jaghe-jaghe jor Ali weh.

Saya yang mendengar perbualan di antara kedua-dua pak cik tersebut awalnya tidak memahaminya. Rupa-rupanya, “naik haji” yang dimaksudkan ialah bermain dam haji.

Ulasan : Jika didengar secara sepintas lalu, kita pasti menganggap, “naik haji” yang dimaksudkan ialah mengerjakan haji. Namun, dalam konteks ayat ini, “naik haji” yang dimaksudkan ialah bermain dam haji.



Situasi 39 : 18 Mac 2011 (Jumaat)

Majlis Menyambut Menantu

Hari ini akan berlangsungnya kenduri di rumah Yus. Majlis ini dinamakan sebagai Majlis Menyambut Menantu di mana rombongan pengantin perempuan akan datang ke rumah pengantin lelaki dengan membawa bersama pasangan pengantin. Pada awal pagi, semua orang bertungkus-lumus memastikan makanan dapat disiapkan kerana rombongan pengantin akan tiba selepas solat Jumaat. Rombongan pengantin tiba lewat, hampir pukul 4 petang. Terdengar abang Yus memanggil ayahnya untuk menyambut rombongan pengantin yang baru tiba.

Abang : Ayoh mano?
Yus : Ayoh gi dapo.
Abang : Panggil ayoh. Demo doh sapa tu.
Yus : Doh sapa? (bergegas mencari ayahnya di dapur)

Suasana agak kelam-kabut ketika itu. Namun, majlis tetap berlangsung seperti yang telah dirancang. Setelah rombongan pengantin perempuan pulang, sesi bergambar ahli keluarga pihak lelaki bersama pasangan pengantin pula diadakan. Pasangan pengantin kelihatan agak kepenatan namun, mereka tidak menghampakan permintaan keluarga yang ingin bergambar bersama mereka. Saya turut tidak melepaskan peluang tersebut. Walaupun semuanya kepenatan, namun masing-masing tersenyum puas kerana majlis berjalan dengan lancar.




Ulasan : Budaya bergotong-royong dalam masyarakat kelihatan masih tetap diamalkan dan tidak terhad semata-mata untuk membersihkan sesuatu kawasan sebaliknya tetap diamalkan untuk tujuan mengadakan majlis atau kenduri yang melibatkan orang ramai. Suasana seperti ini memperkukuhkan lagi hubungan silaturrahim antara masyarakat setempat.       

Situasi 38 : 17 Mac 2011 (Khamis)

Rombongan Pengantin

Hari ini, ahli keluarga Yus mula bersiap-siap untuk majlis perkahwinan abangnya di rumah pengantin perempuan di Ajil. Pada awal-awal pagi lagi, semua orang melakukan tugasan masing kerana selepas waktu Zuhur, kami akan bertolak ke rumah pengantin perempuan. Saya membantu kakak iparnya menyiapkan bunga telur untuk diserahkan kepada pihak perempuan. Walaupun terdapat perkataan-perkataan yang diujarkan tidak saya fahami kerana ahli keluarga Yus bertutur menggunakan dialek Terengganu, itu tidak menghalang saya menjalinkan hubungan dengan ahli keluarganya.  Setelah selesai menyelesaikan kerja-kerja yang sepatutnya, kami mula bersiap-siap untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut. Setelah semuanya siap, masing-masing mula menaiki kenderaan yang telah tersedia. Hampir 25 buah kereta yang menyertai rombongan tersebut. Saya sangat menyukai suasana tersebut. Budaya menghantar rombongan pengantin ini masih kuat diamalkan. Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang menyertai rombongan perkahwinan di Terengganu. Dalam perjalanan pulang ke rumah pula, kami telah singgah di Pantai Telaga Papan yang terletak berhampiran dengan rumah Yus. Namun, saya tidak berpeluang untuk bermain di tepi pantai kerana ombak yang kuat. Oleh itu, saya dan Yus hanya bergambar di situ sebagai kenang-kenangan. Namun begitu, saya berharap, saya akan berpeluang untuk sampai lagi di negeri Terengganu.




Ulasan : Budaya menghantar rombongan pengantin ini masih kuat diamalkan dalam masyarakat di daerah atau negeri tertentu. Walaupun terdapat masyarakat yang tidak lagi mengamalkannya terutama masyarakat bandar, namun sesetengah tempat masih tetap mengamalkan adat ini.

Situasi 37 : 16 Mac 2011 (Rabu)

Bercuti

Hari ini saya akan mengikut Yus pulang ke kampungnya yang terletak di Setiu, Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan abangnya. Kami menaiki bas di pekan Tanjong Malim pada pukul 10.30 pagi. Semasa dalam perjalanan, bas tersebut berhenti di Kuantan untuk mengambil penumpang di sana. Saya dan Yus meminta kebenaran daripada pemandu bas tersebut untuk ke tandas kerana takut pemandu bas tidak menyedari ketiadaan kami di dalam bas dan meninggalkan kami. Semasa di tandas, saya terperasan akan notis yang ditampal di dinding tandas tersebut.


Terdapat kesalahan ejaan pada notis tersebut. Perkataan ‘membukanya’ dieja dengan ‘mengbukanya’. Mungkin orang yang membuat notis ini tidak perasan akan kesalahan ejaan tersebut atau dia memang mengeja perkataan tersebut seperti itu selama ini.

Ulasan: Kesalahan ejaan seperti ini tidak seharusnya berlaku terutamanya di kawasan-kawasan awam. Hal ini demikian kerana, jika dilihat oleh kanak-kanak yang baru mula mengeja, mereka akan menganggap bahawa ejaan perkataan tersebut adalah betul.   

Situasi 36 : 14 Mac 2011 (Isnin)

DITUTUP

Hari ini saya pergi ke kelas seperti biasa. Selepas kelas berakhir jam 4 petang, Yus mengajak saya dan Mira menemaninya mengambil wang di mesin ATM yang terdapat di dalam Bangunan Canselori. Setibanya di situ, saya dan Mira menunggu Yus mengeluarkan wangnya. Semasa sedang menunggu, saya berjalan-jalan sambil melihat papan kenyataan yang terdapat di kawasan tersebut. Tiba-tiba, saya terlihat satu notis yang ditampal di salah sebuah pintu di dalam bangunan tersebut.


Sepatutnya, kesalahan seperti ini tidak berlaku. Perkataan “di” dan “tutup” sebenarnya ditulis rapat atau tidak dijarakkan.

Komen : Pihak yang bertanggungjawab seharusnya peka dengan kesalaha-kesalahan ejaan seperti ini. Tambahan pula, bangunan tersebut merupakan salah sebuah bangunan utama di UPSI. 

Wednesday 13 April 2011

Situasi 33 : 9 Mac 2011 (Rabu)

MENTARANG



Malam ini, saya dan Mira hanya berehat-rehat. Masing-masing ingin merehatkan diri dari memikirkan beberapa kerja yang belum disiapkan. Semasa saya sedang berbaring, Mira berkata sesuatu.


Mira : Tak sabaqnya nak balik kampung. Nak makan mentarang bakaq.
Saya : Mentarang? Apa tu?
Mira : Mentarang tu macam adik beradik siputlah. Kalau nak cari dia, cari dekat dalam selut, masa air surut.
Saya : Oo…Baru Cem tau. Cem tak pernah dengar pun sebelum ni.

Selepas itu, saya mula mencari di internet gambar-gambar mentarang yang disebut oleh Mira. Jadi, inilah gambar mentarang yang dimaksudkan oleh Mira.


Ulasan : Mentarang ialah sejenis makanan laut. Ia dapat diperoleh di bahagian tanah pasir yang berselut semasa air laut surut. Makanan laut ini sememangnya terkenal di negeri Perlis.

Situasi 32 : 9 Mac 2011 (Rabu)

Dilarang Berniaga



Hari ini, saya dan Mira ingin ke pasar malam KUO. Sebelum kami pergi, saya menghubungi Yus untuk bertanyakan sekiranya dia ingin menyertai kami. Yus meminta kami menunggunya. Setibanya di KHAR, kami terus menuju ke pintu lif blok 3 di mana tempat Yus tinggal. Semasa sedang menunggunya, saya terpandang akan satu notis yang ditampal di dinding berdekatan dengan pintu lif.


Terdapat kesalahan ejaan yang dapat dilihat. Perkataan “di” dan “larang” sepatutnya tidak dieja secara terpisah sebaliknya dieja sebagai satu perkataan iaitu “dilarang”.

Ulasan : Kesalahan ejaan seperti ini sering dilihat di mana-mana sahaja. Masyarakat seharusnya lebih peka dengan masalah ini kerana jika dibiarkan akan menyebabkan generasi muda iaitu pelajar semakin bermasalah dalam penulisan mereka.

Situasi 31 : 7 Mac 2011 (Isnin)

KURIK-KUNDI



Saya berasa sangat bosan pada malam mini. Jadi, saya bercadang ingin mendengar lagu-lagu Siti Nurhaliza memandangkan saya meminatinya. Semasa sedang mendengar lagu Kurik Kundi, saya terperasan bahawa lagu ini memuatkan beberapa dialek negeri di dalamnya. Saya mengulangi lagu ini beberapa kali.


Lirik

Nak berkabar tingginya budi kita ya tuan
Nak berkisar kaya tutur bicara
Kalau tinggi untung jadi bintang
Oh... oh... oh...
Kalau rendah masih jadi intan

Teratak mahligai bak dipayung teduhnya
Bila budi melingkar anak asuhan
Adat yang lama berbudi berbahasa
Akar kehidupannya

Yang kurik kundi yang merah saga
Baik budi indahlah bahasa
Oh... oh... oh...
Pantun lama tinggi kiasannya

Berpantun seloka sambil menari canggung
Serentak melangkah rentak timur diarak
Gurau senda
Sopannya dijaga
Sepakat makin kukuh terikat



(Kedah)
Hang dok pi hang dok mai
Lagu tu lagu mana
Pi sini pi sana depa menghela sakan
Awatlah dok kalut megah condong ke barat
Mai kita...

Pakat tarik ramai-ramai
Biar ke timur condongnya

( ulang 1 )

( Perak )
Ada...O...ada E...
Bunyinya tidaklah serupa
Erti tidak berbeza

Betui yong betui sungguh
Betui ape di kate

Selembut tarian hoi...
Nak muda berlotah
Tutur bahasanya

Maghi yop maghilah yong
Maghi kita memikio
Parit dengan kuala
Cakap tidak serupe...(ateh)

Dihitung beratus beratus bilangan
Digali beratus-ratus terpendam
Saga dalam lagu pada indah syairnya
Kundi dalam tarian
Indah lenggok tarinya
Aduhai indahnya...

( Negeri Sembilan )
Mana usang diperbarui
Mana lapuk hai dikajangi
Mana elok dipakai ondeh dipakai
Kalau singkat cantik manis
Disambungkan...
Kalau panjangan cantik manis...
Mintak dikerat...

Yo sungguh yo bonar
Kato sungguh dikato

Muafakat ya tuan
Ibu adat di ondeh tidak dilupa

Tak boghodat
Minum tidak bergula
Tak bobudi
Pohon tidak berbuah
Tak boghodat
Minum tidak bergula
Tak bobudi
Bagai pohon tidak berbuah

Yang kurik kundi yang merah saga
Baik budi indahlah bahasa
Oh...oh...oh...oh...
Pantun lama tinggi kiasannya

( Kelantan )
Teghtek teghning oghe kito
Hok tu keno jago
Jange sapa berlete kale
Luar napok come jange dale
Habih kuca lembe
Luar napok come
Jange dale habih kuca lembe

( Sabah )
Membubutlah bayu
Lalu limpas siring semalu
Mengalai bagai tari sesuku
Tari sesuku

( Sarawak )
Selembut madah begitu taghi
Sek ada sakit ghasa di hati
Kame` nyambut madah tuan hulurkan
Kita` nyambut madah kame` hulurkan

Nak berkabar tingginya budi kita ya tuan
Nak berkisah kaya tutur bicara
Kalau tinggi untung jadi bintang
Oh... oh... oh...
Kalau rendah masih jadi intan

Yang kurik kundi yang merah saga
Baik budi indahlah bahasa
Oh... oh... oh...
Pantun lama tinggi kiasannya


Ulasan : Lagu-lagu seperti ini jarang kita dengar berbanding lagu-lagu berunsur percintaan yang banyak terdapat di pasaran. Sebenarnya lagu-lagu seperti ini dapat membuktikan kepada masyarakat luar bahawa masyarakat di negara kita kaya dengan pelbagai dialek. Dialek-dialek ini berbeza mengikut negeri. Oleh itu, penulis lirik seharusnya memperbanyakkan lagi lagu-lagu seperti ini. 

Situasi 30 : 5 Mac 2011 (Sabtu)

Kereta Sewa


Hari ini, saya dan Mira ingin keluar ke pekan Tanjung Malim. Kami ingin ke pasar malam untuk membeli sayur-sayuran dan membeli beberapa barangan lain. Selain itu juga, saya ingin menghantar kain pasang untuk dibuat baju di kedai menjahit baju bernama Kawah. Semasa sedang menunggu bas di hentian bas bertentangan dengan Kolej Ungku Omar (KUO), saya terbaca artikel yang ditampal di papan tanda hentian bas itu.



Artikel ini adalah berkaitan dengan perkhidmatan menyewa kenderaan untuk pelajar UPSI. Dalam artikel, dapat dilihat dengan jelas penggunaan bahasa rojak iaitu minyak save. Minyak merupakan perkataan bahasa Melayu manakala save merupakan perkataan bahasa Inggeris.

Ulasan : Sepatutnya, masyarakat lebih peka dengan masalah penggunaan bahasa seperti ini memandangkan semua yang berada di sini merupakan bakal pendidik.   

Situasi 29 : 4 Mac 2011 (Jumaat)

PERPUSTAKAAN



Hari ini, saya, Mira dan Yus ingin ke perpustakaan untuk memulangkan buku yang telah dipinjam sambil mencari beberapa bahan rujukan yang lain. Semasa melalui kafetaria sebelum sampai di perpustakaan, saya terlihat satu papan tanda yang diletak berhampiran tangga.


Komen : Penggunaan perkataan bahasa Inggeris “read” dilihat kurang sesuai kerana ia merupakan Kempen Semarak Islam. Seharusnya perkataan “membaca” lebih sesuai menggantikan perkataan tersebut.

Situasi 28 : 3 Mac 2011 (Khamis)

Harian Metro


Hari ini, saya telah membaca surat khabar Harian Metro. Dalam ruangan Keluarga, saya membaca artikel tentang Dr. Mashitah. Menurut beliau, panggilan yang baik dalam institusi kekeluargaan akan memberikan impak dan kesan yang baik terhadap anak-anak. Saya bersetuju dengan kenyataan beliau. Hal ini demikian kerana, kita sering terbaca di mana-mana akhbar tentang penderaan emosi dan fizikal oleh ibu bapa terhadap anak-anak. Mereka ini tidak mendidik anak-anak dengan betul yang seterusnya memberikan kesan yang tidak baik terhadap anak-anak. Jika panggilan yang diberikan tidak elok, lama-kelamaan mereka akan merasakan bahawa apa yang diujarkan oleh ibu bapa itu adalah benar. Contohnya, jika ibu bapa mengelar anak mereka dengan gelaran “bodoh”, “bangang” dan sebagainya, lama-kelamaan, anak-anak mereka akan menjadi seperti itu. Hal ini demikian kerana, setiap kata-kata itu seperti doa. Saya sangat bersetuju dengan kata-kata Dr Mashitah.


Ulasan : Institusi kekeluargaan dilihat memainkan peranan yang penting dalam membentuk akhlak dan pekerti anak-anak. 

Situasi 27 : 2 Mac 2011 (Rabu)

Pok ko angguk @ Mengkarung



Hari ini, saya, Yus dan Mira keluar berjalan-jalan berdekatan dengan rumah kami. Semasa sedang berjalan-jalan berdekatan dengan ladang kelapa sawit, Yus ternampak seekor binatang kecil lalu menyebut “Pok ko angguk”. Saya dan Mira terpinga-pinga dan meminta Yus mengulanginya.

Saya : Yus sebut apa?
Yus : Tu ha. Pok ko angguk.
Mira : Sapa ni?
Yus : Tu lah. Binatang tu. Dia macam spesies iguana tapi dia kecil.
Saya dan Mira : Oo...

Saya menjelaskan bahawa saya memanggil binatang tersebut sebagai mengkarung. Begitu juga dengan Mira. Yus berkata bahawa dia memanggil binatang tersebut sebagai “Pok ko angguk” kerana binatang itu suka mengangguk-anggukkan kepalanya.

Ulasan : Setiap orang mempunyai gelaran untuk sesuatu perkara atau benda yang berbeza mengikut tempat asal masing-masing.

Situasi 26 : 28 Februari 2011 (Isnin)

LAPTOP



Hari ini, saya pergi ke kelas seperti biasa. Semasa pulang dari kuliah di Proton City, saya telah menaiki bas untuk pulang ke rumah saya yang terletak di Bahtera Arked. Semasa berada di dalam bas, saya terdengar perbualan beberapa orang pelajar.

Pelajar 1 : Eh, kau tau tak?
Pelajar 2 : Apa dia?
Pelajar 1 : Ramai laptop budak rumah aku hang.

Saya dan Mira hanya tersenyum mendengar perbualan tersebut.


Komen : Penggunaan bahasa rojak seperti ini sudah menjadi kebiasaan dalam pertuturan masyarakat. Penggunaan kata bilangan yang tidak sesuai turut digunakan iaitu ramai untuk laptop (komputer riba).