Thursday 31 March 2011

Situasi 25 : 26 Februari 2011 (Sabtu)

Hot Dog

Hari ini saya, Mira dan Yus bercadang untuk ke pekan Tanjong Malim pada waktu petang memandangkan agak bosan kerana duduk di rumah. Pada pukul 4 petang, kami keluar dari rumah untuk menunggu bas yang akan membawa kami ke pekan. Bas tiba agak lewat pada petang ini. Hampir 45 minit kami menunggu. Setibanya bas di situ, orang mula berpusu-pusu untuk menaiki bas. Nasib baiklah tiada adegan tolak-menolak pada hari ini. Sesampainya di pekan, kami mula berjalan-jalan. Tiba-tiba, Yus menyatakan keinginannya untuk makan hot dog. Kami pun mencari kedai yang menjual makanan tersebut. Setelah menjumpainya, Yus terus memesan makanan tersebut. Semasa sedang menunggu pesanan tersebut siap, saya terpandang akan papan tanda yang digantung di gerai tersebut.


Ulasan : Dalam papan tanda tersebut, dapat dilihat bahawa pemilik gerai tersebut ingin menggunakan perkataan bahasa Inggeris iaitu hot dog namun mengejanya dalam bahasa Melayu berdasarkan sebutannya. Pemilik gerai tersebut seharusnya prihatin dengan penggunaan perkataan dalam papan tanda yang dipamerkan untuk orang ramai. 

Situasi 24 : 25 Februari 2011 (Jumaat)

Happy Birthday




Hari ini merupakan hari yang saya tunggu-tunggu pada setiap minggu kerana saya tidak perlu menghadiri kelas. Hari ini juga merupakan hari lahir Mira. Saya dan Mira hanya duduk di rumah dan tidak bercadang untuk ke mana-mana. Tetapi, kami dan Jidih sudah bersetuju untuk membuat perbincangan tentang subjek EDU kami. Jadi, petang itu, saya dan Mira ke KHAR untuk tujuan perbincangan. Semasa sedang mengadakan perbincangan, kami melihat beberapa buah kereta dan van datang. Rupa-rupanya, pada hari ini adalah pasar malam di KHAR. Setelah selesai perbincangan, saya, Mira dan Yus berjalan-jalan di situ untuk membeli makanan. Semasa sedang berjalan-jalan sambil memikirkan makanan apa yang hendak dibeli, Yus memanggil saya dan Mira. Dia membelikan kek coklat untuk Mira sempena hari lahir Mira yang jatuh pada hari ini. Setelah selesai membeli beberapa makanan yang lain, kami pun pulang ke rumah. Memandangkan banyak makanan telah dibeli, kami menjemput kawan kami yang lain untuk turut serta meraikan hari lahir Mira. Setelah menyusun semua makanan, kami pun menyanyikan lagu Happy Birthday. Tiba-tiba :

Mira : Nyanyila Allah selamatkan kamu. Bukan Happy Birthday.
Yus : Sama je.
Mira : Tak sama. Happy Birthday dah selalu sangat dengar. (sambil tersenyum)
Ja : Yela Mira. Kita ikut je cakap birthday girl. (sambil ketawa)


Ulasan : Penggunaan ucapan “Selamat Hari Lahir” jarang kita dengar. Kebanyakannya lebih suka menggantikan ucapan tersebut dalam bahasa Inggeris iaitu Happy Birthday. Namun begitu, ejaannnya juga telah diubahsuai oleh masyarakat kini seperti Epy Besday, Appy Bezday dan lain-lain lagi. Masyarakat kini banyak terpengaruh dengan bahasa asing terutamanya golongan muda. 

Situasi 23 : 23 Februari 2011 (Rabu)

SINAR FM

Pagi ini saya dan Mira bergegas ke tempat menaiki bas untuk ke Proton City. Jam sudah menunjukkan pukul 8 pagi. Nampaknya, hari ini kami akan terlewat lagi untuk ke kelas. Nasib baik, kami sempat menahan bas untuk ke Proton City kerana bas tersebut sudah bergerak sebelum kami tiba di tempat menunggu bas. Semasa di dalam bas, pemandu bas tersebut memasang radio Sinar fm. Saya hanya mendengar sahaja celoteh penyampai-penyampai radio tersebut. Namun begitu, saya tertarik dengan penyampai radio tersebut iaitu Salleh Yaakob yang menterjemahkan lagu bahasa Inggeris dan menyanyikan lagu tersebut dalam bahasa Melayu. Walaupun, pada awalnya bunyinya agak pelik kerana kebiasaannya kita mendengar lagu tersebut dalam bahasa Inggeris, namun jika diamati, bunyinya agak menarik.



Ulasan : Pada pandangan saya, usaha penyampai radio tersebut untuk memartabatkan bahasa Melayu sangat murni kerana tidak ramai orang yang mempu berbuat demikian. Hal ini demikian kerana masyarakat kini lebih suka mengagungkan bahasa asing dalam kehidupan seharian.

Situasi 22 : 22 Februari 2011 (Selasa)

Dan @ Sempat

Hari ini, seperti biasa rutin saya pergi ke kelas dan pulang ke rumah di Bahtera Arked. Semasa saya dan Mira sampai di tangga untuk naik ke rumah kami yang terletak di tingkat atas, ada seorang pelajar yang baru turun dari tangga. Sebelum naik ke tingkat atas, semua penghuni di situ perlu menyentuhkan kad imbasan yang diletakkan bersama-sama kunci rumah pada mesin imbasan yang ada di situ. Oleh sebab pelajar tersebut sudah membuka pintu tersebut, maka saya bergegas untuk menahan pintu daripada tertutup memandangkan jam sudah menunjukkan angka 7 tetapi kami masih belum solat Asar. Namun, saya tidak sempat untuk berbuat demikian kerana pintu tersebut telah tertutup.

Mira : Tak dan dah. Ambik jela kunci. (sambil ketawa)
Saya : Tak dan jugak nak tahan.
Mira : Dah macam kura-kura, mana nak dan. (ketawa)

Ulasan: Perkataan dan dalam perbualan di atas sebenarnya membawa maksud sempat. Bukannya bermaksud ‘dan’ iaitu kata hubung yang menghubungkan dua ayat atau lebih.



Situasi 21 : 21 Februari 2011 (Isnin)

AIRPORT



Hari ini, hari yang agak membosankan. Jadi, saya dan Mira bercadang untuk berjalan-jalan berdekatan rumah kami. Tempat yang selalu kami pergi apabila bosan ialah sungai di tepi kolej. Semasa sedang bersembang, datang sekumpulan pelajar mengambil tempat bersebelahan dengan tempat kami duduk. Pada awalnya, saya dan Mira meneruskan perbualan kami. Namun, ada sesuatu yang membuatkan saya tertarik untuk mengetahui perbualan mereka apabila salah seorang daripada mereka ditertawakan oleh rakan-rakan yang lain. Sebenarnya, pelajar tersebut ditertawakan oleh rakan-rakan yang lain kerana menggunakan perkataan ‘lapangan terbang’ semasa menceritakan pengalamannya semasa bercuti di Bali, Indonesia. Rakan-rakannya yang lain mengatakan bahawa orang lain hanya menyebut ‘airport’ dan  terus mengetawakannya.  


Ulasan: Pada pendapat saya, tidak salah untuk pelajar tersebut menggunakan perkataan ‘lapangan terbang’ menggantikan perkataan bahasa Inggeris, airport. Namun, kebanyakan masyarakat kini banyak menggunakan perkataan bahasa Inggeris dalam pengucapan harian mereka. Oleh itu, mereka merasakan bahawa penggunaan perkataan ‘lapangan terbang’ sesuatu yang janggal.


Tuesday 15 March 2011

Situasi 20 : 19 Februari 2011 (Sabtu)

Si Kecil : Wawa




Gembiranya hati berada di rumah. Apabila berada di rumah terasa seperti hilang segala perasaan rungsing. Keluarga adalah orang yang terdekat dengan kita. Oleh itu, saya berasa sangat gembira dapat pulang ke kampung pada hari Jumaat selama tiga minggu berturut-turut. Seperti biasa, setiap kali berada di rumah, saya akan melayan gelagat anak saudara saya, Wawa yang sangat petah mulutnya berbicara walaupun baru berumur 4 tahun. Kadang-kadang, saya tidak termampu untuk menjawab setiap soalannya kerana setiap perkara yang dicakapkan ingin diketahuinya dengan terperinci. Hari ini, seperti biasa, Wawa akan bertanyakan pelbagai soalan kepada saya.

Wawa : Eh, Acu. Acu dah alik? Acu g ane?
Saya : Aah. Acu dah balik. Acu g sekolahla.
Wawa : Acu sekolah kat ane? Jauh ke dekat?
Saya : Acu sekolah jauh.
Wawa : Acu belajar ke?
Saya : Ye. Acu belajar. Wawa pun dah besar nanti kena belajar macam acu jugak?
Wawa : Wawa nak sekolah. Tapi cikgu tak kasi agi. Wawa kecik agi.
Saya : Wawa nak sekolah kat mana?
Wawa : Wawa nak sekolah kat sekolah aculah. Boleh?
Saya : Boleh. Tapi Wawa tak ada beg sekolah, pensil, buku. Macam mana Wawa nak belajar?
Wawa : Wawa ada. Ibu dah beli dah untuk Wawa. Sama macam Along. Acu nak tengok?
(Wawa berlari ke dalam bilik untuk menunjukkan barangan persekolahannya. Saya hanya tersenyum melihat gelagat Wawa yang petah berbicara itu)

Ulasan : Apabila kita berbicara dengan kanak-kanak yang masih pelat, kita akan terikut-ikut dengan cara percakapan dan bahasa mereka tanpa kita sedari.  

Situasi 19 : 18 Februari 2011 (Jumaat)

MASJID


Minggu ini saya bercadang untuk pulang ke kampung saya yang terletak di negeri Pahang. Oleh sebab saya tidak perlu manghadiri kuliah pada hari ini, maka saya sudah menghubungi kakak saya yang berada di Rawang untuk mengambil saya di Tanjong Malim terlebih dahulu memandangkan kakak saya juga ingin pulang ke kampung. Namun begitu, saya perlu menunggu abang ipar saya pulang dari tempat kerjanya. Setelah abang ipar saya pulang, kami mula berkemas untuk pulang ke kampung. Dalam perjalanan pulang ke kampung, kami singgah di sebuah masjid (terpaksa dirahsiakan) untuk menunaikan solat Maghrib. Semasa pergi ke tandas wanita, saya terbaca sehelai kertas yang ditampal di dinding luar tandas wanita.
Ayat-ayat yang ditulis di atas kertas ini merupakan dialek negeri Kelantan. Penggunaan perkataan tulong, jange, sapoh, merato-rato, suko-suko, demo, guno dan otok telah menunjukkan penulisnya mungkin berasal dari negeri Kelantan.


Komen : Masjid merupakan kawasan yang dikunjungi oleh orang awam yang terdiri daripada pelbagai negeri. Pada pendapat saya, penulis haruslah menggunakan bahasa yang lebih standard dan tidak mencampur-adukkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.   

Situasi 18 : 17 Februari 2011 (Khamis)

Balik Kampung




Jam menunjukkan hampir pukul 10.00 pagi. Ini bermakna kelas akan berakhir sebentar sahaja lagi. Saya sudah tidak sabar-sabar untuk keluar daripada bilik kuliah. Saya berasa sangat mengantuk semasa berada di dalam kelas. Setelah kelas tamat, saya, Mira dan Yus bergegas keluar daripada bilik kuliah. Kami perlu cepat kerana kami perlu menghadiri kelas yang seterusnya di Proton City pada pukul 11.00 pagi. Semasa sedang menunggu bas untuk ke Proton City, saya terpandang sehelai kertas yang ditampal di kawasan tempat menunggu bas. Kertas tersebut merupakan kertas sebaran untuk pelajar dari Terengganu yang ingin pulang ke Terengganu. Walaupun tarikhnya sudah berlalu, namun kertas tersebut tidak ditanggalkan. Terdapat pelbagai kesalahan ejaan di dalam kertas sebaran tersebut. saya mengagak bahawa orang yang menulisnya sengaja mengeja perkataan dengan salah. Antaranya perkataan balek,  dan telipun. Selain itu, terdapat dialek Terengganu yang turut diletakkan di dalam kertas sebaran tersebut iaitu “Derah2, tempoh lalu, kekgi x dang balik kapong”.

Ulasan : Penggunaan dialek dalam kertas sebaran ini sering kita lihat setiap kali pelajar akan bercuti terutamanya untuk pelajar-pelajar Terengganu dan Kelantan. Banyak kertas-kertas sebaran akan ditampal sama ada di kolej, kampus mahupun tempat menunggu bas. 

Situasi 17 : 16 Februari 2011 (Rabu)

PANOH DAN PANAH



Hari ini, saya, Mira dan Yus ke perpustakaan sekali lagi untuk mencari bahan untuk membuat tugasan. Sepanjang berada di UPSI, inilah semester yang paling kerap kami ke perpustakaan. Boleh dikatakan hampir setiap minggu. Semester ini memerlukan kami banyak membuat rujukan di perpustakaan. Tiba di perpustakaan, kami mula mencari bahan untuk membuat tugasan. Setelah menjumpai bahan tersebut, Yus mengajak kami untuk mencari bahan untuk subjek lain di ruangan jurnal yang terletak di aras satu. Semasa mencari bahan tersebut, saya terjumpa satu watak kartun berserta dialog. Dialog tersebut merupakan dialek negeri Kelantan. Dialog tersebut berbunyi :

            “Ambo bawak panoh tengah panah.”

Panoh” dalam ayat bermaksud anak panah manakala “panah” pula membawa maksud panas. Ayat yang betul dalam bahasa Melayu ialah “Saya bawa anak panah di tengah panas. “Panah” dalam bahasa Melayu membawa maksud anak panah tetapi jika disebut mengikut dialek Kelantan, ia sebenarnya membawa maksud panas.


Komen : Sesuatu perkataan jika disebut mengikut dialek atau loghat sesuatu negeri mungkin membawa maksud yang berbeza daripada maksud yang terdapat dalam Kamus Dewan.  

Situasi 16 : 15 Februari 2011 (Selasa)

SEKOLAH



Hari ini, kami diminta untuk mula memilih sekolah untuk menjalani praktikum mengikut daerah-daerah yang telah ditetapkan oleh Unit Latihan Mengajar (ULM). Saya mula mencari sekolah-sekolah di daerah Mentakab yang boleh saya pilih untuk menjalani praktikum kerana hanya tiga daerah sahaja yang dibuka di negeri Pahang iaitu Kuantan, Raub dan Mentakab. Oleh itu, saya memilih untuk menjalani praktikum di daerah Mentakab. Semasa sedang mencari di internet, saya terbuka laman web sebuah sekolah. Berikut merupakan imej yang saya peroleh daripada laman web sekolah tersebut. Penggunaan perkataan “NOMOR HP” pada halaman utama laman web sekolah tersebut dapat dilihat dengan jelas.


Komen: Pihak yang bertanggungjawab iaitu pihak sekolah haruslah mengambil berat akan kesalahan ejaan seperti ini kerana laman web sekolah sering dilawati oleh orang lain. Sepatutnya, pihak sekolah lebih prihatin berkaitan masalah ejaan seperti ini kerana ia mungkin dapat mempengaruhi pelajar-pelajar yang melihatnya.

Situasi 15 : 13 Februari 2011 (Ahad)

KENDURI



Hari ini merupakan hari bahagia kakak saya di mana dia akan bertunang dengan pilihan hatinya iaitu Abang Zaki. Saya agak keletihan hari ini kerana baru pulang dari mengadakan program di sekolah saya pada jam 12 tengah malam tadi. Namun begitu, rasa letih ini tidak menghalang saya untuk bergembira di hari bahagia kakak saya. Seperti biasa, kesibukan melanda diri saya. Tetapi tidaklah sesibuk kakak saya yang seorang lagi kerana terpaksa menjadi tukang masak pada hari ini dan dibantu oleh jiran tetangga yang datang dengan tujuan membantu. Memandangkan masakan dialah yang paling sedap, jadi dia diarahkan oleh mak dan ayah saya untuk menyediakan hidangan untuk tetamu yang hadir. Saya hanya menjadi jurugambar kepada kakak saya yang akan bertunang. Pada pukul 12 tengah hari, rombongan pihak lelaki tiba di rumah saya. Ahli keluarga saya menjemput tetamu yang datang masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, bermulalah sesi soal jawab antara kedua-dua belah pihak. Saya tidak mendengar dengan jelas setiap perbualan kerana saya hanya mengambil gambar. Namun begitu, ada beberapa perbualan yang agak menarik minat saya kerana kedua-dua pihak menggunakan loghat yang berbeza. Ayah saya berasal dari Kelantan manakala pihak lelaki berasal dari Kedah. Antara perbualan yang sempat saya dengar :

Pihak lelaki : Kami mai ni ada hajat. Hajat nak menyunting anak dara abang untuk anak saudara saya, Zaki. Tapi, sebelum tu nak tau jugak, dah berpunya ka belum?
Ayah : Oh…Abe ni rama anok pue. Anok abe hok mano satu ni?
Pihak lelaki : Anak abang yang nama Siti Hajjar. Zaki tu dah berkenan sangat dengan anak abang tu.
Ayah : Kalu hok tu tak dok lagila (sambil ketawa). Buleh.

Ulasan : Perbezaan dialek yang digunakan tidak menghalang terjalinnya sesuatu ikatan atau hubungan. Sebaliknya, ia boleh menjadikan sesebuah ikatan kekeluargaan yang bakal terjalin itu lebih indah kerana kedua-dua pihak cuba untuk saling memahami budaya dan adat satu sama lain.




Situasi 14 : 12 Februari 2011 (Sabtu)

DENDA


Aktiviti yang akan dilakukan pada hari ini ialah Explorace. Peserta program Gapai Impi yang datang daripada beberapa buah sekolah telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Fasilitator juga telah diberikan tugas untuk menjaga setiap tempat yang disenaraikan sebagai tempat aktiviti ini diadakan. Saya dan Asri ditugaskan untuk menjaga di kawasan padang. Saya dan Asri perlu menyediakan empat penjuru yang terdiri daripada pelbagai bahan yang ada di kawasan padang seperti tayar, kerusi, kon dan tong air bersaiz sederhana. Setiap kumpulan yang datang diminta beratur dan ditutup mata dengan kain. Ketua kumpulan perlu membawa ahli kumpulannya untuk mencari setiap penjuru tersebut dengan saling berpegangan tangan sesama jantina dan jantina yang berbeza dihubungkan dengan sebatang kayu. Asri dan saya perlu memisahkan ahli kumpulan tersebut sebelum mereka menjumpai penjuru yang kelima iaitu tempat bermula. Tujuan permainan ini adalah untuk melihat sejauh mana ketua menjaga dan bertanggungjawab terhadap ahli kumpulannya dan melihat semangat kerjasama antara kumpulan. Semasa saya sedang melihat satu kumpulan bermain, ada beberapa orang pelajar daripada kumpulan lain telah pergi ke kantin untuk membeli minuman sementara menunggu giliran mereka untuk bermain. Setelah kumpulan yang terakhir selesai bermain permainan tersebut, saya lihat banyak plastik-plastik minuman dibuang di kawasan padang.

Asri : Budak-budak ni buang sampah kat sini je. Bukan nak buang dalam tong sampah. Tong sampah dekat je. Nak kena denda budak-budak ni.
Saya : Suruhlah Adam buat pengumuman minta semua pelajar kutip sampah di padang sebelum makan tengah hari.
Asri : Ok jugak tu.

Ulasan : Budaya membuang sampah di merata-rata tempat seperti situasi di atas susah dibendung sekiranya tidak ditegah lebih awal. Budaya membuang sampah di merata-rata tempat ini seperti sudah sebati dengan masyarakat. Masalah ini sukar dibendung sekiranya individu tidak mempunyai kesedaran dari dalam diri masing-masing.



Situasi 13 : 11 Februari 2011 (Jumaat)

Perjalanan Pulang





Pagi ini, saya akan pulang ke kampung saya kerana kakak saya akan melangsungkan pertunangan pada hari Ahad. Namun, sebelum itu, saya terlibat sebagai fasilitator program Gapai Impi yang akan diadakan di sekolah bersama alumni PERTINA sekolah saya yang lain. Program tersebut bermula pada hari ini sehingga hari Ahad. Tetapi saya sudah memaklumkan kepada rakan yang lain bahawa saya hanya melibatkan diri sehingga hari Sabtu sahaja memandangkan kakak saya akan melangsungkan pertunangannya pada hari Ahad. Kami yang menuntut di UPSI bertolak dari Tanjong Malim ke Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi. Kami tiba di Kuala Lumpur pada pukul 9.45 pagi. Selepas itu, kami membeli tiket yang terawal dari Kuala Lumpur ke Temerloh iaitu pada pukul 11.00 pagi. Semasa sedang menunggu bas, saya dan rakan-rakan yang lain berborak menceritakan kisah masing-masing. Ini merupakan peluang untuk kami berborak kerana sepanjang berada di UPSI kami jarang berjumpa kerana komitmen masing-masing. Tiba-tiba, ada seorang remaja menunjukkan tiketnya kepada konduktor bas yang berdiri di pintu bas berhadapan dengan tempat duduk kami. Remaja tersebut melangkah menaiki tangga bas, tetapi konduktor bas memanggil remaja itu turun semula daripada bas.

Konduktor : Adik, sekejap.
Remaja : Ye bang.
Konduktor : Adik nampak tak dekat tiket ni dia tulis apa? Ni bas ke Bentong, bukan ke Temerloh. Bas ke Temerloh tak sampai lagi. Lain kali tengok tiket betul-betul dulu. Menyusahkan orang je.


(Konduktor bas itu terus membebel tentang kecuaian remaja tersebut. Remaja tersebut pula hanya berlalu pergi. Kelihatan mukanya merah padam kerana dimarahi oleh konduktor bas itu).

Komen : Konduktor bas tersebut tidak seharusnya bersikap sedemikian terhadap remaja tersebut. Dia boleh menegur remaja tersebut dengan baik sebaliknya dia terus mamarahi remaja tersebut. Sebagai seorang yang bertimbang rasa, dia seharusnya memberitahu remaja tersebut dengan baik.

Situasi 12 : 8 Februari 2011 (Selasa)

Apa Maksud "Lampi"?



Jam menunjukkan pukul 7.45 pagi. Saya perlu menghadiri kuliah di Proton City. Setibanya di tempat menunggu bas, saya lihat bas belum tiba. Oleh itu, saya dan orang lain beratur untuk menaiki bas supaya tidak perlu berebut untuk menaiki bas. Semasa sedang beratur, saya terdengar satu perbualan antara tiga orang mahasiswa yang saya rasakan agak menarik. Berikut merupakan antara perbualan tiga orang pelajar terbabit yang dapat saya dengar.

Pelajar 1 : Ko tak tahu ke?
Pelajar 2 : Bila dia cakap? Aku tak tau pun.
Pelajar 3 : Ko ni lampila.
Pelajar 2 : Lampi? Lampi tu apa?
Pelajar 1 : Lampi pun tak tau ko ni. Lampi tu maksud dia lambat pick-up. Tu pun tah tau.
Pelajar 2 : Aku mana tau. Aku tak pernah dengar pun.
Pelajar 1 dan pelajar 3 mentertawakan rakan mereka, pelajar 2. Selepas itu, saya mendengar pelajar 1 dan 3 menerangkan dengan lebih lanjut tentang maksud perkataan tersebut kepada pelajar 2. Saya dan Mira hanya tersenyum mendengar perbualan tiga orang mahasiswa tersebut. tidak lama kemudian, bas dari Proton City pun tiba.

Ulasan : Tidak semua perkataan pernah kita dengar. Kehidupan di universiti yang menempatkan pelajar dari pelbagai negeri memberi peluang kepada setiap orang untuk mengetahui perkataan-perkataan yang tidak pernah didengar sebelum ini melalui interaksi dengan orang lain.


Situasi 11 : 7 Februari 2011 (Isnin)

PELAJAR KREATIF



Hari ini, ada sesuatu yang saya peroleh semasa saya melawati laman facebook. Bagi saya, ia sesuatu yang menarik untuk diisi di dalam blog saya dan dikongsi bersama rakan-rakan. Hal ini demikian kerana tidak mustahil kami semua akan berdepan dengan situasi atau perkara seperti ini semasa di sekolah nanti memandangkan saya dan rakan sekelas yang lain adalah bakal-bakal guru bahasa Melayu. Saya tidak pasti akan penulisnya tetapi ia merupakan salah satu karangan pelajar sekolah. Gambar di bawah merupakan contoh karangan pelajar tersebut.


Komen: Pelbagai kesalahan bahasa dapat dilihat dalam contoh karangan tersebut. Karangan ini boleh dikategorikan sebagai lemah kerana pelajar juga gagal mengeja setiap patah perkataan dengan betul.




Situasi 10 : 28 Jan 2011 (Jumaat)

Ibadah Korban



Hari ini merupakan hari untuk saya berehat-rehat kerana hari Jumaat saya tidak perlu menghadiri kuliah. Semester ini merupakan antara semester yang saya suka kerana kuliah saya hanya pada hari Isnin hingga Khamis. Namun begitu, tidak bermakna saya berehat daripada membuat tugasan yang diberikan oleh pensayarah. Seperti biasa, aktiviti yang sering saya lakukan semasa berada di dalam bilik ialah melawati laman facebook. Saya tertarik dengan salah satu gambar yang saya lihat di dalam album yang dimuat naik oleh rakan saya. Mungkin rakan saya ingin menceritakan kegembiraan menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun lepas dengan memaparkan gambar ini. Namun begitu, perkataan “direportkan” tidak sesuai digunakan.



Komen: Perkataan yang sesuai menggantikan perkataan tersebut ialah dilaporkan.

Situasi 9 : 27 Jan 2011 (Khamis)

KELAS DIALEK DI DALAM BAS


Hari ini saya terdengar satu perbualan yang menarik antara dua orang pelajar semasa kami dalam perjalanan dari kampus ke Proton City. Setelah selesai kelas Semantik dan Pragmatik, saya dan dua orang rakan menaiki bas menuju ke kampus. Dalam perjalanan, saya terdengar suatu perbualan.

Pelajar 1: Kau tahu tak orang Kedah panggil apa tengok perangai macam tu?
Pelajar 2: Apa dia?
Pelajar 1: Peghaq.
Pelajar 2: Peghak?
Pelajar 1: Lebih kurang jakun jugakla. Cuba sebut, ulaq melingkaq ataih paghaq.
Pelajar 2: Ulak melingkak atas paghak.
Pelajar 1: Haha…tak pas la nak masuk Kedah.

Komen: Setiap tempat atau negeri mempunyai dialek atau sebutannya tersendiri yang kadang-kadang orang luar tidak memahaminya namun itu merupakan kelebihan dialek. Tidak semua orang mampu menguasai kesemua dialek. 

Situasi 8 : 26 Januari 2011 (Rabu)

TERSEPIT


Seperti biasa, rutin saya pada setiap hari Rabu, menghadiri kuliah Semantik dan Pragmatik di Proton City. Kelas saya bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 10.00 pagi. Hari ini, saya terlewat untuk ke kelas kerana walaupun jam sudah menunjukkan pukul 7.55 pagi tetapi saya masih di rumah. Saya dan rakan saya saya, Mira bergegas menuju ke tempat menunggu bas di depan Kolej Ungku Omar (KUO). Setibanya di situ, kami tidak perlu beratur untuk menaiki bas kerana tidak ramai orang. Nasib baiklah kami sempat menaiki bas tersebut. kami tiba di kelas pada pukul 8.15 pagi dan duduk di kerusi seperti orang tidak bersalah. Setelah tamat kelas, saya, Yus dan Mira bercadang untuk pergi ke perpustakaan untuk mencari bahan membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Kami menunggu bas untuk ke kampus dengan sabar. Tidak lama kemudian, bas pun datang. Maka, orang pun berpusu-pusu pergi untuk beratur di tepi bas kerana orang yang ada di dalam bas tersebut hendak turun. Kami pun tidak terkecuali. Nasib baiklah kami beratur agak depan pada hari tersebut. Sampai pada orang yang terakhir turun daripada bas tersebut, sahabat saya,Fairus pun mengucap. Mana tidaknya, tak sempat orang terakhir keluar dari kawasan orang yang menunggu di tepi bas tersebut, dia telah dihimpit oleh orang-orang yang berebut untuk menaiki bas tersebut. Kesian saya lihat pelajar tersebut sebab saya pun pernah juga alami situasi tersebut. Agak-agak orang lain pernah tak alami situasi seperti ini?


 
Komen: Budaya berebut semasa menaiki bas seperti sudah sebati dengan pelajar-pelajar UPSI. Setiap hari situasi seperti ini dapat kita lihat sama ada di kampus mahupun kolej. Namun begitu, sebagai pelajar yang berpendidikan tinggi, budaya seperti ini tidak harus wujud di UPSI kerana semuanya merupakan bakal-bakal guru.

Situasi 7 : 25 Jan 2011 (Selasa)

BER'SHARE'


Kira-kira jam 11 malam. Tiba-tiba saya terasa seperti mahu melawati laman  facebook lalu saya pun meneruskan niat itu. Saya lihat ada komen dalam PERTINA sekolah. Saya melihat komen tersebut. Komen tersebut merupakan komen daripada teman sekolah saya semasa di sekolah iaitu Adam. Komennya  adalah “muktamad, jam 10 pagi..KFC temerloh, 1hb februari..sume yang letak nama nak jd fasi, kne hadir untuk 'pencerahan' n untuk sedut2 ape yg patot serta ber 'share' idea...sila bg kerjasama..tQ”. Saya pun tergelak membaca komen tersebut. Tak sangka Adam seorang yang kreatif  dalam membina perkataan kerana boleh membina perkataan ber’share’ yang saya sendiri pun tak pernah terpikir. Sebenarnya Adam hendak memberitahu kami semua tentang perjumpaan kami,pelajar tingkatan enam tahun 2007 Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jengka(SMKSJ) yang akan menjadi fasilitator dalam satu program di sekolah kami. Program tersebut merupakan program untuk pelajar-pelajar tingkatan enam sekolah kami tetapi cikgu memberitahu kami bahawa program tersebut telah menjadi program peringkat daerah dan kami, alumni SMKSJ diminta untuk mengendalikan program tersebut. Program tersebut akan berlangsung pada 11 sehingga 13 Februari 2011. 


Ulasan: Ayat-ayat yang menggunakan bahasa rojak seperti ini sering kita lihat atau dengar di mana-mana sahaja. Pelbagai perkataan telah dicampur-adukkan. Namun begitu, perkataan atau ayat-ayat seperti ini tidak boleh diamalkan dalam kehidupan kerana iai mampu merosakkan bahasa kita. 


Situasi 6 : 24 Jan 2011 (Isnin)

Katak Puru @ Asam Katak




Hari ini saya ke kelas seperti biasa tapi saya mengalami sakit perut yang teramat sangat. Saya rasa penyakit gastrik saya telah kembali menyerang setelah hampir tiga bulan. Tapi saya gagahkan juga kaki untuk pergi ke kelas sebab malas nak pergi klinik untuk dapatkan borang cuti sakit. Tiba di pintu kaca sebelum masuk ke kawasan kelas, kawan saya menolak pintu tersebut tetapi pintu tersebut telah dikunci. Kami lihat di dalam kelas tidak ada seorang pun pelajar. Yus pun menghubungi kawan sekelas kami yang lain dan mereka memberitahu bahawa kelas Modal Insan pada hari itu telah dibatalkan. Ruginya saya sebab tak tahu awal-awal. Kami tidak pulang terus ke rumah kerana selepas dua jam, kami masih ada kelas di Proton City. Selepas menemani dua sahabat saya makan di kafetaria, mereka pula menemani saya berehat di surau disebabkan keadaan saya yang sakit ketika itu. Saya pun berbaring dan tertidur kerana malam tadi tidak dapat tidur lena akibat gastrik. Selepas habis kelas di Proton City, kami pun pulang ke rumah menaiki bas seperti biasa. Selepas solat Zuhur pula, kami pun bersiap untuk menghadiri seminar untuk kursus Keterampilan Penulis yang diadakan di perpustakaan. Walaupun  masih terasa sakit, saya tetap menghadiri seminar tersebut kerana ada markah untuk kehadiran. Selepas itu, sahabat saya yang baik hati (Miera dan Yus) telah memaksa saya untuk pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Saya dengan berat hati menurutnya dan kami pun pergi ke klinik kesihatan UPSI. Doktor memberikan resit ubat-ubat yang perlu saya dapatkan. Setelah selesai, kami pun berjalan keluar daripada klinik tersebut. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di kedai berdekatan dengan Muzium UPSI yang menjual laksa dan bihun sup. Disebabkan saya hanya minum air soya sebelum menghadiri seminar, Miera dan Yus memaksa pula saya makan supaya dapat mengalas perut sebelum makan ubat. Semasa makan, kami terpandang sebatang pokok. Kami pun berbual mengenai pokok tersebut.

Yus: Macam pokok katak puru kan?
Miera: Hah, katak puru?
Yus: Miera panggil gape pokok tu?
Miera: Miera panggil pokok nanam. Cem?
Saya: Cem panggil asam katak.
Yus: Macam-macam panggilan dia.( sambil ketawa bersama-sama)

Komen: Walaupun nama dan sebutan yang digunakan berbeza, namun perkara yang dirujuk merupakan perkara yang sama. Hal ini demikian kerana setiap negeri mempunyai dialek atau sebutannya yang tersendiri ke atas sesuatu perkara atau benda.  

Monday 14 March 2011

Situasi 5 : 23 Januari 2011 (Ahad)

Nasi Lemak





Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi. Saya, Mira dan Jariah bermalam di rumah sewa Azni dan Lini yang terletak berhampiran dengan Universiti Malaya. Jadi, kami perlu menaiki bas ke Hentian Klang dan mendapatkan tiket untuk pulang ke Tanjong Malim di situ. Kami tidak mahu tiba lewat petang di Tanjong Malim kerana ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan pada hari tersebut. Memandangkan bas tidak lagi kelihatan, maka kami bercadang untuk bersarapan terlebih dahulu. Azni dan Lini membawa kami bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran dengan rumah sewa mereka. Semasa sedang bersarapan, datang seorang lelaki membeli sarapan di kedai tersebut. Dia memesan untuk membungkus tiga bungkus nasi lemak dan air milo ais. Disebabkan ramai orang yang datang untuk bersarapan di kedai tersebut, maka pesanan untuk lelaki tersebut agak lambat siap. Lelaki tersebut mula mendesak pekerja kedai makan tersebut supaya menyiapkan pesanannya dengan cepat.

Lelaki : Cepatlah sikit. Bungkus nasi pun lambat. Nanti aku cancel order baru tau.
(Pekerja tersebut hanya mendiamkan diri dan tergesa-gesa menyiapkan pesanan lelaki tersebut. selepas itu, dia menghulurkan bungkusan makanan kepada lelaki tersebut).
Lelaki              : Berapa?
Pekerja kedai   : RM 7.80.
Lelaki              : Nah, RM10. Baki simpan. Lain kali buat kerja cepat sikit. (sambil berlalu pergi)
Pekerja kedai : Terima kasih, encik. (menggeleng-gelengkan kepala)

Komen : Budaya seperti ini tidak seharusnya berlaku. Lelaki tersebut seharusnya bersabar dan tidak bersikap demikian terhadap pekerja kedai. Sikapnya yang boleh dianggap sebagai tidak sopan itu mencerminkan keperibadiannya. Terdapat juga penggunaan bahasa rojak semasa lelaki tersebut bertutur. 

Situasi 4 : 22 Januari (Sabtu)

JALAN-JALAN



Hari ini, seperti yang telah dirancang, saya, Mira dan Jariah pergi ke Kuala Lumpur untuk menonton wayang memandangkan di Tanjong Malim tidak terdapat pawagam. Kami bertolak dari Tanjong Malim pada pukul 11.30 pagi. Semasa di dalam bas, Mira dan Jariah mula menghubungi rakan sekolah mereka yang belajar di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menyertai kami berjalan-jalan di Kuala Lumpur di samping dapat berjumpa dengan rakan-rakan memandangkan masing-masing susah untuk berjumpa sekiranya pulang ke kampung. Jariah dan Mira merupakan rakan sekolah. Oleh sebab itu, saya seorang sahaja yang tidak berasal dari Perlis. Selepas satu jam berada di dalam bas, kami tiba di Hentian Klang. Kami mula bergerak menuju ke Midvalley memandangkan Mira dan Jariah sudah meminta rakan-rakan sekolah mereka untuk menunggu kami di situ. Setelah berjumpa, saya mula berkenalan dengan Azni, Lini, Izzah dan Eira. Mereka mula bertutur dalam dialek negeri Perlis sesama mereka. Saya lebih banyak mendengar berbanding bercakap kerana tidak tahu untuk berinteraksi menggunakan dialek negeri Perlis. Namun begitu, saya masih boleh memahami perbualan mereka memandangkan saya banyak mempelajari dialek negeri Perlis kerana tinggal sebilik dengan Mira. Cuma terdapat sesetengah perkataan yang saya tidak dapat faham dengan baik kerana mereka bertutur dengan pantas. Antaranya ialah acilut. Setelah diterangkan oleh Mira, barulah saya tahu yang acilut itu bermaksud permainan sembunyi-sembunyi yang mana permainan ini biasa dimainkan oleh kanak-kanak.


Ulasan : Acilut merupakan permainan sembunyi-sembunyi yang disebut dalam dialek negeri Perlis. Permainan ini sangat popular dalam kalangan kanak-kanak tidak kira di negeri mana sekalipun namun, terdapat perbezaan nama yang diberikan mengikut negeri. 

Situasi 3 : 21 Januari 2011 (Jumaat)

TIKET

Hari ini merupakan hari cuti bagi saya. Hal ini demikian kerana saya tidak perlu menghadiri kuliah. Semester ini, kuliah yang perlu saya hadiri hanyalah pada hari Isnin sehingga Khamis. Hari Jumaat sehingga Ahad merupakan hari cuti bagi saya. Semasa sedang bersembang dengan kawan saya, Mira, tiba-tiba kami mendapat idea untuk pergi ke Kuala Lumpur pada keesokan hari. Memandangkan ada cerita baru yang sedang ditayangkan di pawagam, iaitu Khurafat, maka kami bercadang untuk mengajak Jariah menyertai kami. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk ke Kuala Lumpur pada hari esok. Tujuan kami ke Kuala Lumpur hanyalah untuk menghiburkan hati sebelum mula bergelumang dengan tugasan yang menimbun dan menunggu masa untuk disiapkan. Kami tidak bercadang untuk membeli-belah memandangkan duit pinjaman kami masih belum dimasukkan ke dalam akaun kami. Pada sebelah petang, saya dan Mira ke kaunter membeli tiket yang terletak berhampiran dengan rumah kami untuk membeli tiket ke Kuala Lumpur pada keesokan hari. Semasa sedang beratur untuk membeli tiket kerana ramai yang ingin ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu, tiba-tiba datang seorang perempuan yang juga merupakan mahasiswi seperti saya terus ke kaunter dan bertanyakan tiket kepada penjual tiket. Penjual tiket tersebut kemudiannya berkata kepada mahasiswi tersebut:

Penjual tiket : Adik, beratur ye. Orang lain yang beratur ni pun nak beli tiket. Tiket banyak lagi. Jangan risau.
Mahasiswi : Saya nak cepat ni pak cik. Bagi saya dulula.
Penjual tiket : Orang lain boleh beratur, takkan adik tak boleh. Orang lain pun nak cepat juga. Beratur dulu.
(Mahasiswi tersebut menarik muka masam dan terus beratur dengan perasaan tidak puas hati terhadap penjual tiket).

Komen : Budaya seperti ini tidak seharusnya wujud dalam kalangan kita memandangkan kita bakal menjadi seorang guru. Oleh itu, sebagai bakal guru, kita haruslah mengelakkan perbuatan seperti ini menjadi amalan dalam hidup kita.