Saturday 16 April 2011

Situasi 40 : 19 Mac 2011 (Sabtu)

Dam Haji

Hari ini merupakan hari keempat saya di Terengganu. Selepas beberapa hari di Terengganu, banyak yang telah saya pelajari terutamanya perkataan-perkataan yang tidak pernah saya dengar sebelum ini. Kebanyakan penduduk di Terengganu bekerja sebagai petani, penoreh dan nelayan. Pada sebelah petangnya, kebanyakan mereka menghabiskan masa dengan berbual-bual kosong di kedai kopi yang berhampiran. Suatu hari, semasa sedang menemani Yus ke kedai runcit, saya terdengar perbualan di antara dua orang pak cik.


Pak Cik 1 : Mat, demo nok gi maner?
Pak Cik 2 : Kawe nok gi naik haji.
Pak Cik 1 : Hari-hari gi haji Mat?
Pak Cik 2 : Jaghe-jaghe jor Ali weh.

Saya yang mendengar perbualan di antara kedua-dua pak cik tersebut awalnya tidak memahaminya. Rupa-rupanya, “naik haji” yang dimaksudkan ialah bermain dam haji.

Ulasan : Jika didengar secara sepintas lalu, kita pasti menganggap, “naik haji” yang dimaksudkan ialah mengerjakan haji. Namun, dalam konteks ayat ini, “naik haji” yang dimaksudkan ialah bermain dam haji.



Situasi 39 : 18 Mac 2011 (Jumaat)

Majlis Menyambut Menantu

Hari ini akan berlangsungnya kenduri di rumah Yus. Majlis ini dinamakan sebagai Majlis Menyambut Menantu di mana rombongan pengantin perempuan akan datang ke rumah pengantin lelaki dengan membawa bersama pasangan pengantin. Pada awal pagi, semua orang bertungkus-lumus memastikan makanan dapat disiapkan kerana rombongan pengantin akan tiba selepas solat Jumaat. Rombongan pengantin tiba lewat, hampir pukul 4 petang. Terdengar abang Yus memanggil ayahnya untuk menyambut rombongan pengantin yang baru tiba.

Abang : Ayoh mano?
Yus : Ayoh gi dapo.
Abang : Panggil ayoh. Demo doh sapa tu.
Yus : Doh sapa? (bergegas mencari ayahnya di dapur)

Suasana agak kelam-kabut ketika itu. Namun, majlis tetap berlangsung seperti yang telah dirancang. Setelah rombongan pengantin perempuan pulang, sesi bergambar ahli keluarga pihak lelaki bersama pasangan pengantin pula diadakan. Pasangan pengantin kelihatan agak kepenatan namun, mereka tidak menghampakan permintaan keluarga yang ingin bergambar bersama mereka. Saya turut tidak melepaskan peluang tersebut. Walaupun semuanya kepenatan, namun masing-masing tersenyum puas kerana majlis berjalan dengan lancar.




Ulasan : Budaya bergotong-royong dalam masyarakat kelihatan masih tetap diamalkan dan tidak terhad semata-mata untuk membersihkan sesuatu kawasan sebaliknya tetap diamalkan untuk tujuan mengadakan majlis atau kenduri yang melibatkan orang ramai. Suasana seperti ini memperkukuhkan lagi hubungan silaturrahim antara masyarakat setempat.       

Situasi 38 : 17 Mac 2011 (Khamis)

Rombongan Pengantin

Hari ini, ahli keluarga Yus mula bersiap-siap untuk majlis perkahwinan abangnya di rumah pengantin perempuan di Ajil. Pada awal-awal pagi lagi, semua orang melakukan tugasan masing kerana selepas waktu Zuhur, kami akan bertolak ke rumah pengantin perempuan. Saya membantu kakak iparnya menyiapkan bunga telur untuk diserahkan kepada pihak perempuan. Walaupun terdapat perkataan-perkataan yang diujarkan tidak saya fahami kerana ahli keluarga Yus bertutur menggunakan dialek Terengganu, itu tidak menghalang saya menjalinkan hubungan dengan ahli keluarganya.  Setelah selesai menyelesaikan kerja-kerja yang sepatutnya, kami mula bersiap-siap untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut. Setelah semuanya siap, masing-masing mula menaiki kenderaan yang telah tersedia. Hampir 25 buah kereta yang menyertai rombongan tersebut. Saya sangat menyukai suasana tersebut. Budaya menghantar rombongan pengantin ini masih kuat diamalkan. Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang menyertai rombongan perkahwinan di Terengganu. Dalam perjalanan pulang ke rumah pula, kami telah singgah di Pantai Telaga Papan yang terletak berhampiran dengan rumah Yus. Namun, saya tidak berpeluang untuk bermain di tepi pantai kerana ombak yang kuat. Oleh itu, saya dan Yus hanya bergambar di situ sebagai kenang-kenangan. Namun begitu, saya berharap, saya akan berpeluang untuk sampai lagi di negeri Terengganu.




Ulasan : Budaya menghantar rombongan pengantin ini masih kuat diamalkan dalam masyarakat di daerah atau negeri tertentu. Walaupun terdapat masyarakat yang tidak lagi mengamalkannya terutama masyarakat bandar, namun sesetengah tempat masih tetap mengamalkan adat ini.

Situasi 37 : 16 Mac 2011 (Rabu)

Bercuti

Hari ini saya akan mengikut Yus pulang ke kampungnya yang terletak di Setiu, Terengganu untuk menghadiri majlis perkahwinan abangnya. Kami menaiki bas di pekan Tanjong Malim pada pukul 10.30 pagi. Semasa dalam perjalanan, bas tersebut berhenti di Kuantan untuk mengambil penumpang di sana. Saya dan Yus meminta kebenaran daripada pemandu bas tersebut untuk ke tandas kerana takut pemandu bas tidak menyedari ketiadaan kami di dalam bas dan meninggalkan kami. Semasa di tandas, saya terperasan akan notis yang ditampal di dinding tandas tersebut.


Terdapat kesalahan ejaan pada notis tersebut. Perkataan ‘membukanya’ dieja dengan ‘mengbukanya’. Mungkin orang yang membuat notis ini tidak perasan akan kesalahan ejaan tersebut atau dia memang mengeja perkataan tersebut seperti itu selama ini.

Ulasan: Kesalahan ejaan seperti ini tidak seharusnya berlaku terutamanya di kawasan-kawasan awam. Hal ini demikian kerana, jika dilihat oleh kanak-kanak yang baru mula mengeja, mereka akan menganggap bahawa ejaan perkataan tersebut adalah betul.   

Situasi 36 : 14 Mac 2011 (Isnin)

DITUTUP

Hari ini saya pergi ke kelas seperti biasa. Selepas kelas berakhir jam 4 petang, Yus mengajak saya dan Mira menemaninya mengambil wang di mesin ATM yang terdapat di dalam Bangunan Canselori. Setibanya di situ, saya dan Mira menunggu Yus mengeluarkan wangnya. Semasa sedang menunggu, saya berjalan-jalan sambil melihat papan kenyataan yang terdapat di kawasan tersebut. Tiba-tiba, saya terlihat satu notis yang ditampal di salah sebuah pintu di dalam bangunan tersebut.


Sepatutnya, kesalahan seperti ini tidak berlaku. Perkataan “di” dan “tutup” sebenarnya ditulis rapat atau tidak dijarakkan.

Komen : Pihak yang bertanggungjawab seharusnya peka dengan kesalaha-kesalahan ejaan seperti ini. Tambahan pula, bangunan tersebut merupakan salah sebuah bangunan utama di UPSI. 

Wednesday 13 April 2011

Situasi 33 : 9 Mac 2011 (Rabu)

MENTARANG



Malam ini, saya dan Mira hanya berehat-rehat. Masing-masing ingin merehatkan diri dari memikirkan beberapa kerja yang belum disiapkan. Semasa saya sedang berbaring, Mira berkata sesuatu.


Mira : Tak sabaqnya nak balik kampung. Nak makan mentarang bakaq.
Saya : Mentarang? Apa tu?
Mira : Mentarang tu macam adik beradik siputlah. Kalau nak cari dia, cari dekat dalam selut, masa air surut.
Saya : Oo…Baru Cem tau. Cem tak pernah dengar pun sebelum ni.

Selepas itu, saya mula mencari di internet gambar-gambar mentarang yang disebut oleh Mira. Jadi, inilah gambar mentarang yang dimaksudkan oleh Mira.


Ulasan : Mentarang ialah sejenis makanan laut. Ia dapat diperoleh di bahagian tanah pasir yang berselut semasa air laut surut. Makanan laut ini sememangnya terkenal di negeri Perlis.

Situasi 32 : 9 Mac 2011 (Rabu)

Dilarang Berniaga



Hari ini, saya dan Mira ingin ke pasar malam KUO. Sebelum kami pergi, saya menghubungi Yus untuk bertanyakan sekiranya dia ingin menyertai kami. Yus meminta kami menunggunya. Setibanya di KHAR, kami terus menuju ke pintu lif blok 3 di mana tempat Yus tinggal. Semasa sedang menunggunya, saya terpandang akan satu notis yang ditampal di dinding berdekatan dengan pintu lif.


Terdapat kesalahan ejaan yang dapat dilihat. Perkataan “di” dan “larang” sepatutnya tidak dieja secara terpisah sebaliknya dieja sebagai satu perkataan iaitu “dilarang”.

Ulasan : Kesalahan ejaan seperti ini sering dilihat di mana-mana sahaja. Masyarakat seharusnya lebih peka dengan masalah ini kerana jika dibiarkan akan menyebabkan generasi muda iaitu pelajar semakin bermasalah dalam penulisan mereka.